Pages

Tuesday, March 30, 2010

Kewanitaan Yang Kian Pupus

Kewanitaan milik wanita sahaja tanpa gantian, samalah seperti kelakian itu milik lelaki tanpa tukaran. Pengkhususan peranan wanita ialah dalam aspek membentuk jiwa generasi saleh manakala keluasan peranan lelaki ialah kepimpinan manusia dalam rumah, kampung, negara dan bumi.

Kewanitaan ialah sifat khusus wanita dalam kejiwaan, minda, emosi, kelakuan dan perjuangan manusia Hawa sesuai dengan peranan mereka seperti tersebut di atas. Dari segi kejiwaan seseorang wanita wajib mengimani Islam sebagai deen yang berhak memerintah dirinya dan manusia seluruhnya. Ia wajar yakin bahawa tanpa penyerahan total kepada Islam ia umpama membunuh masa depan dirinya dan merosakkan martabat kemanusiaannya hingga bertukar menjadi haiwan.

Dari segi kejiwaan juga ia redha untuk terikat dengan Allah sebagai matlamat manakala Rasul sebagai modelnya (qudwahnya). Saban hari ia memuja Rabb-nya dan meneliti tindakannya jangan menyinggung Rabb-nya. Ia meneliti perlakuan sunnah untuk diterima pakai dalam kehidupan sehariannya.

Dari segi minda wanita mukmin berfikir apa yang syariat menyuruh berfikir. Ia memikirkan tentang penciptaan alam untuk memberi impak kekuasaan Rabul Jalil ke dalam sanubarinya. Ia memikir tentang nasib Islam, syariat yang bersih dan menyelamatkan sedang manusia meninggalkannya. Ia memikirkan tentang bahagiannya di akhirat, hari dan detik-detik yang amat kriris. Ia berfikir tentang apa yang diajar oleh Quran dan hadith sebagai rujukannya.

Dari segi emosi mukminah halus sensitif tentang apa yang sahaja yang mencemar iman dan akhlaqnya. Ia mudah menangis tentang dosanya. Ia mudah riang memandang anak-anak belajar Quran, menghafal hadith dan hukum. Hatinya terpaut dengan suasana mengajar dan membimbing anak-anak mukmin menghargai kehidupan secara Islam, berakhlak dan berjuang seperti jejak ulamak awal. Baginya menghabiskan masa demi mengalirkan erti tauhid, jihad dan syahid ke dalam jiwa-jiwa muda suatu kepuasan - suatu kerjaya yang diangan-angankan sejak ia mengenali Islam.

Kelakuan mukminah lembut tetapi jihadi. Mereka memikat Hawa lain kepada Islam melalui syaksyiyah Islamiyyahnya dan kemahuannya yang kuat terhadap Islam yang terpendam dalam kotak dadanya. Ia suka berpakaian dan bergerak menurut yang disuaki oleh Allah. Ia berjalan dan berpijak di tempat-tempat yang dimuliakan Allah dan Rasul. Ia meniru tingkah laku yang hanya diyakini tidak akan menconteng nama baik isteri-isteri Rasul dan nama baik muslimah umumnya. Kalaulah dikatakan tanda qiamat ialah wanita hilang malu, tidak padanya. Kalaulah dikatakan wanita itu mudah terpedaya oleh lelaki jahat maka ia sentiasa berteman oleh mahram dalam perjalanannya dan tidak berinteraksi dengan lelaki atau wanita liar kecuali dengan memohon perlindungan dari Allah terlebih dahulu.

Ia sedar perhiasan dirinya ialah untuk orang yang berhak sahaja kerana itu harga baginya untuk membeli syurga Allah. Ia memperelokkan solahnya, memperbanyakkan puasa sunnatnya dan mentaati orang memilikinya secara sah.

Perjuangan wanita ialah perjuangan Islam. Fokusnya ialah mempastikan dengan hidayah Allah generasi terbitan darinya mewarisi Quran di hati, bibir dan dalam kenyataan. Ia redha dengan mata benda yang serba kurang. Juga redha dengan kesunyian ditinggalkan oleh simujahid kerana menguruskan deen. Ia redha dengan musibah dalam perjalanan menuju kejayaan Islam yang memang tidak pernah menjanjikan kesenangan dan kerehatan. Hiburan baginya adalah berita-berita mengenai kasih sayang yang bercambah dalam saf muslimah serta berita-berita mengenai kembalinya manusia-manusia liar ke pangkuan syariat. Ia terhibur dengan ayat-ayat al-Quran yang menghiburkan penghuni syurga.

Siapakah yang boleh mengadakan ke semua di atas kecuali mukminah dalam tarbiyah?




Tazkir : Sdr Nasir Salleh - 1995